Thursday, March 27, 2014

Sekolah kehidupan

Sekolah kehidupan, Mahagurunya Allah,
Langit tergantung tanpa tiang,
Gunung-ganang berdiri teguh,
Ombak berarus tiada punca,
Awan berarak membawa hujan,
Bulan kelilingi bumi,
Siang berganti malam; Malam berganti siang,
Sang suria bersinar tanpa henti,
Planet berputar pada paksi,
Siapa mendidik mereka,
Supaya tetap pada aturan?

Sekolah kehidupan, Mahagurunya Allah,
Ayam berkokok tiap pagi,
Burung berkicauan saat terbit mentari,
Lebah membina sarang madunya,
Semut patuh pada ratunya,
Semua binatang,
Dengan rutinnya sendiri,
Kitaran hidup sehari-hari; Seolah mengerti,
Masing-masing punya tugas tersendiri,
Siapa mengajarkan mereka,
Rutin mereka itu dan ini?

Sekolah kehidupan, Mahagurunya Allah,
Bercantum mani jantan dan betina,
Dalam rahim seorang manusia,
Lantas terjelma satu lembaga,
Semakin hari, semakin membesar,
Sehingga membuncit perut si wanita,
Apakah bayi itu tidak lemas?
Siapa yang memberinya makan di dalam kandungan?

Sekolah kehidupan, Mahagurunya Allah,
Dilahirkan manusia hiburannya tangisan,
Pabila lapar.. Merengek-rengek meminta disusukan,
Dikenal ibunya, dikenal bapanya,
Sehingga dia membesar; Menjadi dewasa,
Dia mula pandai berkata-kata,
Berbahasa dengan manusia,
Dia mula pandai berfikir,
Baik atau buruk,
Dia mula pandai tuk menilai,
Jumud atau terbuka.

Sekolah kehidupan, Mahagurunya Allah,
Bukan sekadar retorika pendidikan,
Sebaliknya realiti pengajaran, pembelajaran,
Terlalu mahal,
Tak dikenakan yuran pengajian,
Hanya golongan membedah alam,
Mengkaji dan menilai,
Kan memahami persoalan-persoalan,
Dan perjalanan penciptaan alam,
Kerana sekolah kehidupan ini,

Mahagurunya Allah…

No comments:

Post a Comment

Putih-putih Melati , Merah-merah delima ,
Bila hati bertemu hati , Segala ilmu dikongsi bersama (MohamadHafiz,2013)